BUKU PELAWAT

BUKU PELAWAT
Terima kasih kerana sudi bertandang ke Blog Taman Seribu Puisi. Kehadiran anda kami hargai. Sebagai tanda sokongan, dijemput untuk mendaftar di sini sebagai tanda jejak kembara ilmu di Taman Seribu Puisi. (Klik GAMBAR BUKU untuk masuk)

Sajak Warkah Kepada Generasi-Amiruddin Md Ali Hanafiah

Video = Contoh Deklamasi Sajak Warkah Kepada Generasi  
Hak Cipta Terpelihara : Blog Taman Seribu Puisi

video
Semoga mendapat manfaat!(*^-^*)

Analisis Sajak

Sajak (Sumber Buku Teks KOMSAS  Antologi Gema Sepi Gadis Genius, halaman 28)
Maksud
Generasiku tercinta
kalian adalah kelompok bertuah
yang sempat berteduh di langit alaf baru
dengan keberanian sebagai bangsa bermaruah
di tanah merdeka milik abadi kita.
Penyajak menjelaskan bahawa generasi muda sebagai golongan yang beruntung kerana hidup pada zaman sekarang.  Mereka hidup sebagai bangsa yang bermaruah di negara yang merdeka.

Generasiku yang bijak bestari
ini bumi suci perjuangan nenek moyang
yang bersumpah setia memartabatkan bangsa
mendaulatkan tanah air, mencipta kebebasan
membina istana merdeka yang kalian diami.
Penyajak mengingatkan generasi muda yang berilmu bahawa negara yang didiami oleh mereka sekarang merupakan hasil perjuangan nenek moyang mereka yang berusaha mendapatkan kemerdekaan negara.

Penutup warkah ini
ingin kuingatkan: jangan biarkan akar sejarah
tercabut dari bumi bertuah ini.

Penyajak mengakhiri pesanannya agar kita semua tidak melupakan sejarah negara.



Generasi muda pemangkin masa depan negara.
Berbaju biru namun tidak pernah lesu.

Tema:
Sajak ini mengemukakan tema peringatan dan pesanan kepada golongan muda/generasi sekarang tentang sejarah kemerdekaan negara.

Persoalan:
·         Generasi muda yang bertuah kerana dapat hidup di sebuah negara yang merdeka.
·         Kemerdekaan negara merupakan hasil perjuangan dan pengorbanan nenek moyang kita.
·         Kepentingan sejarah kemerdekaan negara.

Bentuk:
·         Sajak ini terdiri daripada tiga rangkap.
·         Rima akhir bebas.
·         Jumlah baris serangkap bebas
Contohnya :
Rangkap 1-5 baris.
Rangkap 2 – 5 baris.
Rangkap 3 – 3 baris.
·         Jumlah perkataan sebaris adalah antara dua hingga tujuh patah kata.
·         Jumlah suku kata sebaris adalah antara tujuh hingga enam belas suku kata.

Gaya Bahasa
Contoh
Metafora
tanah merdeka (R1, B5)
istana merdeka (R2, B5)
akar sejarah (R3, B2)
Sinkof
Generasiku tercinta (R1,B1)

Unsur Bunyi
Contoh
Asonansi
di tanah merdeka milik abadi kita. (R1,B5)
Aliterasi
membina istana merdeka yang kalian diami (R2,B5)

Jangan pernah menyerah, kita generasi bermaruah.

Nada : Sajak ini bernada patriotik.

Nilai:
·         Kesyukuran: Penyajak mengajak generasi muda bersyukur dengan nikmat kemerdekaan negara.
·         Pengorbanan: Nenek moyang kita sanggup berkorban demi mendapatkan kemerdekaan negara daripada penjajah.
·         Cinta akan negara: Semangat cinta akan negara amat penting dalam diri seseorang agar kita sama-sama dapat berusaha untuk memajukan negara.

Pengajaran:
·         Kita hendaklah menghargai nikmat kemerdekaan negara agar kita tidak lupa untuk mempertahankannya.
·         Kita perlulah sanggup berjuang dan berkorban demi kemerdekaan negara.
·         Kita seharusnya sedar betapa pentingnya kemerdekaan kepada negara agar negara kita tidak lagi dijajah pada kemudian hari.
·         Kita janganlah lalai dengan nikmat dan kesenangan yang kita nikmati selama ini kerana kelalaian tersebut boleh menyebabkan kita kembali dijajah oleh musuh.

Remaja hari ini,
Pemimpin hari muka.
Usah bermimpi lagi,
Ayuh bersiap siaga.

3 Ulasan murid:

Tanpa Nama berkata...

anafora mne ?

Tanpa Nama berkata...

anafora tak ada

Tanpa Nama berkata...

Saya sang at suka akan laman web taman seribu puisi ini krna bnyak mklumat yg bleh didapati

Catat Ulasan