BUKU PELAWAT

BUKU PELAWAT
Terima kasih kerana sudi bertandang ke Blog Taman Seribu Puisi. Kehadiran anda kami hargai. Sebagai tanda sokongan, dijemput untuk mendaftar di sini sebagai tanda jejak kembara ilmu di Taman Seribu Puisi. (Klik GAMBAR BUKU untuk masuk)

"SYAIR PANDUAN UNTUK PARA REMAJA"


"SYAIR PANDUAN UNTUK PARA REMAJA"
OLEH : HARUN MAT PIAH (PENYELENGGARA)

ANALISIS TEKS

Syair
Maksud
Ingat pesanku wahai belia,
Jangan berdusta jangan perdaya,
Jangan fikir kasihkan kaya,
Jangan boros yang sia-sia.

Penyair menasihati remaja supaya jangan terbabit dengan perbuatan dusta, iaitu menipu dan memperdaya. Selain itu, remaja jangan asyik hendak berlagak menunjuk-nunjuk hingga berlaku boros. Dalam bahasa yang positif, remaja hendaklah bercakap benar dan mengamalkan jimat cermat.
Jangan mengata jangan mengeji,
Jangan aniaya bengis dan benci,
Jangan takbur diri dipuji,
Jangan sekali mungkir janji.


Remaja hendaklah menjauhi perbuatan yang buruk seperti mengumpat, mencerca (menghina), mengenakan orang, garang tidak tentu pasal dan benci. Remaja juga tidak wajar berasa bangga diri (kagum pada diri sendiri) apabila menerima sanjungan, serta mesti menepati janji. Pendek kata, remaja perlu menghiasi peribadi dengan sifat terpuji (mahmudah) dan menghindari sifat tercela (mazmummah). 
Judi dan arak jangan biasa,
Lucah dan cabul jangan selesa,
Usah bertemu ular yang bisa,
Lambat bangatnya dapat binasa.


Remaja jangan mendekati amalan judi (pertaruhan) dan meneguk minuman keras (alkohol). Mulut juga dijaga daripada menuturkan perkataan yang tidak senonoh dan hodoh bunyinya. Elakkan diri daripada dipengaruhi amalan buruk kerana akhirnya akan terjebak ke kancah kehancuran.
Jangan meminjam jangan berhutang,
Jangan meminta bantu sementang,
Bergantung pada orang hendaklah pantang,
Bebas kehidupan sentiasa tatang.


Remaja jangan membiasakan diri dengan tabiat suka meminjam dan berhutang, atau asyik meminta pertolongan orang. Sikap berdikari hendaklah dipupuk supaya hidup sebagai insan yang merdeka. Maka, pergantungan keterlaluan kepada pihak lain hendaklah dihindari.
Meminta jangan meminjam pun jangan,
Barang dipinjam kerap kehilangan,
Sahabat peminjam renggang di tangan,
Hutang merosakkan mut'ah pandangan.


Remaja usah melazimkan diri dengan suka meminta-minta dan meminjam kerana barang yang dipinjam selalu hilang (rosak, musnah, habis). Akibatnya, persahabatan boleh putus. Orang yang berhutang selalu dipandang rendah.
Jangan biasakan meminta tolong,
Ke sini tersembah, ke sana terlolong,
Ikhtiar sendiri bantut bergulung,
Akhirnya kebolehan lenyap terlelong.


Kebiasaan meminta tolong membawa akibat hilang harga diri apabila terpaksa merayu ke sana sini hingga menjejaskan maruah diri. Akhirnya, sikap demikian akan menghalang amalan berdikari (usaha kendiri) dan potensi diri (bakat / kebolehan / keupayaan) daripada berkembang.
Latihlah diri sifat merdeka,
Daya sendiri segenap seketika,
Jangan sombongkan asal dan baka,
Atau kelebihan adik dan kakak.


Remaja hendaklah melatih diri dengan sikap berdikari, iaitu dengan melakukan sesuatu atas usaha (inisiatif) sendiri. Remaja tidak boleh berasa angkuh terhadap status dan keturunan, atau menumpang kehebatan anggota keluarga dengan tujuan bermegah-megah. Remaja mesti mampu mencipta kejayaan dan pencapaian diri sendiri.
Padalah itu aku khabari,
Ingatlah semua, muda jauhari,
Kiranya kabul allah memberi,
Dirimu jadi pemulih negeri.


Penyair menegaskan kepada semua remaja akan segala nasihat dan pesanan yang telah disampaikan. Harapannya hanya satu, iaitu supaya remaja menjadi pembela negara, tentunya dengan izin allah jua. Remaja mesti bijak membezakan amalan baik dengan amalan buruk dalam kehidupan.

Tema
Panduan kepada generasi muda untuk menghadapi dunia yang penuh dugaan dan cabaran.

Persoalan
1)   Berdikari dalam kehidupan tanpa mengharapkan bantuan dan pertolongan daripada orang lain. Contoh:
Jangan biasakan meminta tolong,
Ke sini tersembah, ke sana terlolong,
Ikhtiar sendiri bantut bergulung,
Akhirnya kebolehan lenyap terlelong.

2)   Mengelakkan diri daripada terlibat dengan perkara-perkara negatif yang boleh merosakkan diri. Contoh:
Judi dan arak jangan biasa,
Lucah dan cabul jangan selesa,
Usah bertemu ular yang bisa,
Lambat bangatnya dapat binasa.

3)   Menunaikan janji yang termeterai kerana kegagalan menepati janji akan menghilangkan kepercayaan orang terhadap kita.
Contoh:
Jangan mengata jangan mengeji,
Jangan aniaya bengis dan benci,
Jangan takbur diri dipuji,
Jangan sekali mungkir janji.

4)   Mengelakkan diri  daripada berhutang kerana hubungan persahabatan akan renggang disebabkan masalah ini.
Contoh:
Meminjam jangan dipinjamkan jangan,
Barang dipinjam kerap kehilangan,
Sahabat peminjam renggang di tangan,
Hutang merosakkan mut’ah pandangan.

Bentuk
1.    Bentuk terikat.
2.    Mempunyai 8 rangkap.
3.    Setiap rangkap mempunyai 4 baris.
4.    Semua baris ialah maksud.
5.    Suku kata 9 hingga 12.
Contoh : ja/ngan/ tak/bur/ di/ri/ di/pu/ji (9 suku kata-rangkap 2)
Contoh : be/bas/ke/hi/du/pan/ sen/ti/a/sa/ ta/tang/ (12 suka kata-rangkap 4)
6.    Antara 4 hingga 5 patah perkataan.
Contoh : Ingat pesanku wahai belia (4 perkataan-rangkap 1)
Contoh: Jangan aniaya bengis dan benci (5 perkataan – rangkap 2)

Gaya bahasa
Gaya bahasa
Contoh
1)   Asonansi – pengulangan vokal a

Barang dipinjam kerap kehilangan.

2)   Aliterasi -  pengulangan konsonan n
 jangan biasakan meminta tolong.
3)   Anafora – pengulangan kata pada awal baris.

Jangan fikir kasihkan kaya.
Jangan boros yang sia-sia.
4)   Inversi –  pembalikan kata

Judi dan arak jangan biasa,
Sepatutnya jangan biasa judi dan arak.
5)   Repitisi – pengulangan perkataan ‘jangan’ dalam baris yang sama
 jangan mengata jangan mengeji

Nilai murni
Nilai murni
Contoh
1)   Berdikari.
Amat penting dalam diri setiap belia agar tidak terlalu bergantung harap kepada orang lain.



Jangan biasakan meminta tolong,
Ke sini tersembah, ke sana terlolong,
Ikhtiar sendiri bantut bergulung,
Akhirnya kebolehan lenyap terlelong.

2)   Merendah diri.
Penting diamalkan supaya tidak menjadi riak apabila menerima pujian.

Latihlah diri sifat merdeka,
Daya sendiri segenap ketika,
Jangan sombongkan asal dan baka,
Atau kelebihan adik dan kakak.

3)   Bertanggungjawab.
Harus ada dalam diri setiap insan agar kita bertanggungjawab atas segala yang kita lakukan contohnya seperti menepati janji.

Jangan mengata jangan mengeji,
Jangan aniaya bengis dan benci,
Jangan takbur diri dipuji,
Jangan sekali mungkir janji.



Pengajaran
1)   Kita hendaklah berdikari dan jangan terlalu bergantung kepada orang lain kerana keadaan ini menambahkan keyakinan dan keupayaan diri sendiri untuk menyelesaikan masalah.
Contoh:
Jangan biasakan meminta tolong,
Ke sini tersembah, ke sana terlolong,
Ikhtiar sendiri bantut bergulung,
Akhirnya kebolehan lenyap terlelong.    
                                      
2)   Kita janganlah menyombong diri ketika menjalinkan persahabatan, kelak diri sendiri yang rugi. Contoh:
Latihlah diri sifat merdeka,
Daya sendiri segenap ketika,
Jangan sombongkan asal dan baka,
Atau kelebihan adik dan kakak.

3)   Kita hendaklah menunaikan janji kerana orang akan hilang kepercayaan jika kita memungkirinya.
Contoh:
Jangan mengata jangan mengeji,
Jangan aniaya bengis dan benci,
Jangan takbur diri dipuji,
Jangan sekali mungkir janji.


7 Ulasan murid:

Tanpa Nama berkata...

terlalu panjang dan x berapa lengkap.................tpi best layan blog nie .......x boring tapi best.....;)

Tanpa Nama berkata...

lengkap dan berguna untuk para remaja membaca @ melayari blog ni......

Tanpa Nama berkata...

TERIMA KASIH ATAS MAKLUMAT INI..
SANGAT BANYAK MEMBANTU...

Tanpa Nama berkata...

Terima kasih kerana memberi nota yang amat berguna! Jasamu dikenang

Tanpa Nama berkata...

blog ini sangat comel 😍😍

Tanpa Nama berkata...

THANKS ,NAK ID WECHAT WE

Tanpa Nama berkata...

BEst GiLLEr...NOta INi SGt MEMBanTu UNtuk PERsemBAhan SAya.TErima KAsiH sgt2....

Catat Ulasan